Catatan Yang Ditampilkan

Pengurusan Harta

Jumaat, 16 Februari 2024

Pengurusan Harta

 HARTA merupakan keperluan asasi kepada manusia. Tanpa harta, seseorang itu sukar untuk meneruskan kelangsungan hidup dan memungkinkan hidupnya menjadi melarat. Tetapi sekiranya seseorang itu memiliki harta, mereka akan dapat menjalani kehidupan dengan baik dan mengecap kebahagiaan.

Namun, apa yang sering berlaku dalam masyarakat hari ini ialah terdapat pemilik harta tidak membuat perancangan dan pengurusan harta yang betul. Tidak dinafikan, ada dalam kalangan masyarakat yang mengambil berat tentang pemerolehan harta dari segi halal dan haramnya. Tetapi sebahagian masyarakat yang lain tidak mempedulikan punca rezeki yang diperolehi.

Dengan sebab itu, umat Islam amatlah digalakkan membuat perancangan dan pengurusan harta kerana dalam rezeki seseorang ada hak orang lain dan setiap manusia perlu mengelakkan dirinya daripada memakan harta secara haram.

Perancangan harta yang bijak mampu memberikan kemudahan dan keselesaan kepada waris atau mereka yang menikmati harta tersebut. Jika tiada perancangan atau tidak diurus dengan bijak, ia akan menimbulkan kesulitan kepada waris-waris terutama dalam keadaan pemilik harta meninggal dunia dan mempunyai liabiliti yang belum dilangsaikan sebelum kematiannya.

Perancangan ke atas pembahagian harta pusaka dilakukan adalah untuk mencapai tiga (3) matlamat berikut iaitu:

  1. Pemilik harta akan dapat melakukan amal jariah untuk dirinya;
  2. Pemilik harta akan boleh memberikan hartanya kepada orang yang disayangi; dan
  3. Pemilik harta ingin memastikan waris-waris memperolehi harta pusakanya dan tidak menagih simpati daripada orang lain.


Hibah Takaful

Hibah bermaksud hadiah. Dalam konteks hibah takaful, ia merupakan satu pemberian yang dibuat oleh peserta takaful secara sukarela dengan menghadiahkan faedah takaful kepada pihak ketiga. Pengendali takaful akan membayar faedah takaful kepada penerima hibah apabila peserta takaful meninggal dunia, tertakluk kepada terma dan syarat seperti yang termaktub di dalam sijil takaful.


Rasulullah ﷺ bersabda:


إِنَّكَ أَنْ تَذَرَ وَرَثَتَكَ أَغْنِيَاءَ خَيْرٌ مِنْ أَنْ تَذَرَهُمْ عَالَةً يَتَكَفَّفُونَ النَّاسَ


“Sesungguhnya jika engkau meninggalkan waris engkau dalam keadaan kaya itu lebih baik daripada engkau tinggalkan mereka dalam keadaan meminta-minta kepada manusia.”


Siapa yang layak menerima hibah takaful?

Pemberi hibah takaful (peserta takaful) boleh menghibahkan faedah takaful kepada sesiapa sahaja yang diinginkan, tanpa mengira hubungan, agama mahupun bangsa. Tetapi ianya lebih afdal jika hibah takaful tersebut diberikan kepada ahli keluarga terdekat (isteri/suami atau anak-anak) sebagai tanda kasiha sayang.



KEPENTINGAN HIBAH TAKAFUL

Semakin ramai golongan muda zaman kini yang lebih bijak merancang kewangan dan sedar akan kepentingan takaful. Secara lazimnya, ramai yang memilih takaful perubatan sebagai pelan takaful yang pertama buat diri sendiri dan ahli keluarga. 

Namun, jika berkemampuan, kita digalakkan untuk mempertingkatkan perlindungan merangkumi perlindungan hayat yang menawarkan ciri hibah takaful sebagai kaedah pengurusan harta yang dapat menjamin masa depan orang tersayang.

Jenis-jenis takaful ini sama pentingnya, walaupun menawarkan faedah takaful yang berbeza. Takaful perubatan melindungi peserta takaful sekiranya jatuh sakit manakala perlindungan hayat dan hibah takaful pula berperanan melindungi ahli keluarga selepas kematian peserta takaful.

Perancangan legasi yang baik dan berkesan adalah amat penting buat keluarga kerana ia memudahkan waris untuk menguruskan harta peninggalan tanpa perlu melalui proses pembahagian harta yang rumit, sekaligus dapat meneruskan kehidupan seharian dengan tenang.

Mulakan perancangan legasi anda hari ini melalui proposisi Penyelesaian Kekayaan Menyeluruh daripada AIA PUBLIC Takaful yang sentiasa bersama anda sekeluarga di setiap perjalanan hidup.

Rabu, 31 Julai 2013

Tips Memotivasikan Diri



Motivasi adalah ibarat makanan asas untuk setiap individu. Anda, saya, kawan-kawan anda dan saya, pakcik, makcik, datuk, nenek dan semua orang. Tahap motivasi yang dimiliki seseorang membezakan dia dan orang lain. Ianya boleh dilihat melalui tindakan kita pada setiap masa.


Orang yang bermotivasi, akan bangkit dari tidur dengan perasaan segar dan sentiasa bersedia untuk ke pejabat atau ke kelas atau ke mana sahaja urusannya. Orang yang tiada atau kurang motivasi, akan bangkit dari tidur dengan perasaan lemau, malas dan layu. Terasa berat sekali untuk bangkit dan bersiap sedia untuk ke kelas atau ke pejabat. Itulah impak nilai motivasi pada diri seseorang individu. Tetapi, kita selalu memandang remeh keperluan motivasi kepada kita.

Tidak semua orang melihat motivasi diri sebagai sesuatu yang sangat penting untuk kehidupannya. Ramai antara kita yang syok sendiri atau perasan kononnya ‘aku sudah cukup hebat!’ atau ‘aku tahu apa yang aku mahu!’ dan sebagainya. Hasilnya, dia sekadar statik di posisinya, tanpa kemajuan, tanpa perubahan. Ayuh audit diri kita, adakah kita juga begitu?

Ramai orang tertanya-tanya, bagaimana untuk memiliki motivasi diri yang tinggi? Orang buat tidak baik pada kita, kita relax dan cool sahaja. Orang marah kita, kita tenang sahaja. Orang maki kita, kita sabar dan kunci mulut sahaja. Orang kutuk kita, kita senyum sahaja. Lebih baik jika apabila diperlakukan sebegitu rupa, kita ucapkan Alhamdulillah.

Ya, bukan mudah. Kalau logik fikiran orang kebanyakan akan beranggap, ‘Bodoh. Orang maki kau diam je. Memang bodoh!’.

Persoalan: Adakah benar kita bodoh?

Menurut saya, tidak. Kita, apabila yakin dan percaya atas apa yang kita lalui setiap waktu sebagai aturan Allah swt, kita akan lebih berlapang dada atas setiap apa yang kita lalui. Kita akan lebih bermotivasi lantas menjadi seorang yang lebih tenang dan damai hatinya.

Memanglah bukan mudah. Kenapa? Kerana kita tidak memujuk hati dan fikiran kita dengan motivasi diri yang tinggi. Kita terlalu memanjakan hati dan fikiran kita dengan input-input negatif. Contohnya, ‘Aku tak rasa aku boleh buat benda ni. Susah betul ni!’. Walhal kita belum cuba lagi, kita sudah mengalah. Lihatlah betapa kita tinggalkan motivasi jauh di belakang.

Contoh lain betapa negatifnya pemikiran kita adalah seperti: ‘Dia ni pandang aku satu macam mesti sebab dia dengki dengan aku sebab markah aku tinggi. Aku tak boleh buat baik dengan orang macam ni!’. Itu tanggapan negatif semata-mata. Dalam diam syaitan bertepuk tangan, ‘hoorey hoorey’ kerana berjaya mempengaruhi fikiran kita. Yang kalah adalah kita. Ya, kita.

Sekadar mahu kongsikan apakah perkara yang wajar kita lakukan untuk meningkatkan motivasi diri. Semoga bermanfaat untuk anda, saya dan kita semua!

Bisikkan kepada diri sendiri setiap hari bahawa, ‘aku seorang yang positif dan bermotivasi tinggi’. Jadikan diri kita sebagai inspirasi setiap orang sebaiknya.

Banyakkan membaca bahan motivasi contohnya buku-buku motivasi, cerpen motivasi, mendengar perkongsian motivasi di radio ataupun menonton perkongsian motivasi di TV atau internet.

Banyakkan menulis perkara-perkara positif walaupun kita tahu pada waktu itu kita masih ada rasa sedih, kecewa, dan sebagainya. Jika mempunyai akaun Twitter atau FB, kurangkan keluhan tetapi perbanyakkan kata-kata positif. Lama kelamaan ia akan sebati dengan diri kita.

Berkawanlah dengan orang-orang yang positif dan bermotivasi tinggi. Kurangkan berkawan dengan orang yang suka mengeluh, complaint, selalu bersedih, kurang bersyukur, dan berfikiran negatif. Kerana kawan-kawan begini akan mempengaruhi kita. Jadi, pilih kawan yang betul!

Perbanyakkan amal ibadat kepada Allah swt. Jaga solat fardhu, amalkan solat sunat, perbanyakkan mengingati Allah dan membaca Al Quran. InsyaAllah amal ibadat begini akan selalu membuatkan jiwa kita tenang dan sekaligus menjadikan kita orang yang positif dan bermotivasi. 

Tanamkan azam untuk menjadi manusia yang bermanfaat dan mampu memanfaatkan orang lain. Sekiranya ini azam kita, semestinya kita lebih bersemangat untuk menjadi lebih baik dan lebih baik.

Banyakkan berserah diri kepada Allah swt. Kerana rasa sedih, kecewa, sakit, gembira, suka, bahagia, semuanya Dia yang campakkan ke dada kita.

Jumaat, 26 Julai 2013

Bersemangatkah Kita Menempuh Baki Ramadhan?

Tua, muda, lelaki dan wanita penuh semangat mengimarahkan Ramadan seumpama mendapat semangat baru. Itulah gambaran suasana dan fenomena pada awal Ramadan. Masing-masing berlumba-lumba dalam mengerjakan ibadah.

Namun, semangat itu semakin hari semakin berkurangan. Entah di mana silapnya, keletihan mula mencengkam selepas tujuh hingga 10 hari. Daripada 20 rakaat bertarawih, terhenti pada rakaat kelapan.

Al-Quran yang dulunya sentiasa dibelek, kini tersusun rapi di rak-rak. Tasbih juga sudah hilang, tidak lagi dibilang-bilang. Semangat dan kekuatan melakukan ketaatan semakin berkurang. Inilah masalah yang sentiasa menghantui umat Islam dalam menghadapi Ramadan mendatang.
Bagaimanakah untuk mengekalkan istiqamah dan konsisten melakukan ketaatan sepanjang Ramadan. Menurut Syeikh Habib Ali Al-Jufri Hafizahullah, terdapat tiga kaedah boleh diamalkan untuk mendapat kekuatan kekal istiqamah menjalankan ibadat dan ketaatan sepanjang Ramadan.

Pertama ialah banyak berdoa serta berharap dengan Allah, mohon diberi kekuatan untuk memperbanyakkan ibadat dan ketaatan sepanjang Ramadan. Sebagai hamba dan makhluk Allah SWT, kita sebenarnya langsung tiada kekuatan.

Kekuatan dan daya upaya itu datang daripada Allah SWT. Hatta untuk mengerlipkan kelopak mata pun, ia adalah taufik dan hidayah daripada Allah SWT. Apatah lagi untuk berdiri 23 rakaat solat Tarawih. Membaca satu juz al-Quran, berzikir, selawat, istighfar dan ibadat lain. Semuanya hanya dapat dilakukan jika diizinkan dan diberi kekuatan oleh Allah SWT.

Antara doa diajarkan Nabi SAW ialah seperti diajarkan kepada Mu‘az bin Jabal ra. Mu‘az bin Jabal menceritakan, suatu hari Rasulullah SAW memegang tangannya seraya mengucapkan, “Hai Mu‘az, demi Allah sesungguhnya aku benar-benar mencintaimu. Demi Allah, aku benar-benar mencintaimu. Lalu Baginda bersabda: Aku wasiatkan kepadamu hai Mu‘az, jangan kamu tinggalkan bacaan setiap kali pada akhir solat hendaknya kamu berdoa: “Ya Allah, bantulah aku untuk mengingat-Mu, bersyukur kepada-Mu, dan beribadah dengan baik kepada-Mu.” (Riwayat Abu Daud, Ahmad dan al-Hakim)

Kedua, menjaga pandangan, pendengaran dan pertuturan. Sememangnya sepanjang berpuasa kita dituntut menjaga pandangan, pendengaran dan pertuturan. Jika tidak dijaga, ia boleh menyebabkan berkurangnya pahala.

Namun tanpa disedari, pandangan, pendengaran pertuturan dan semua anggota umumnya akan mempengaruhi kekuatan seseorang untuk melakukan ibadah dengan istiqamah. Jika tersilap memakan makan yang syubhah atau tidak suci ia boleh menyebabkan berat untuk melakukan solat Tarawih atau bangun sahur.

Apatah lagi amalan sunat lain. Oleh itu, seseorang mestilah berhati-hati terhadap apa yang dilihat, didengar serta diucapkan. Bukan setakat itu saja, tangan, kaki dan hati juga perlu dijaga untuk memastikan tubuh sentiasa ringan melakukan ibadat serta merasa kemanisan beribadat.

Khamis, 4 Julai 2013

Pesanan Rasulullah Sebelum Tidur

Sebelum tidur, Rasulullah SAW pernah berpesan kepada Saidatina Aisyah :

“Ya Aisyah, jangan engkau tidur, sebelum melakukan 4 perkara iaitu :

1. Membuatkan para nabi memberi syafaat kepadamu di hari akhirat
2. Membuatkan para muslim meredhai kamu
3. Melaksanakan ibadat haji dan umrah.

Bertanya Aisyah :

“Ya Rasulullah, bagaimanakah aku dapat melaksanakan 4 perkara dalam satu masa?”

Rasulullah tersenyum sambil bersabda :

“Jika engkau tidur bacalah Surah Al -Ikhlas 3 kali, (maka ia seolah-olah kau mengkhatamkan Al Qur’an). Dan Bacalah selawat untukKu dan para nabi sebelumku, (maka kami semua akan memberi syafaat kpdmu di hari kiamat). Dan Beristighfarlah untuk para muslimin (maka mereka semua akan meredhai kamu). Dan perbanyakkanlah bertasbih, bertahmid, bertahlil, dan bertakbir (maka ia seolah-olah kamu telah melaksanakan ibadah haji dan umrah)”